Politeknik Premier (Politeknik)

Politeknik Premier (Politeknik) logo

PENGENALAN POLITEKNIK PREMIER (POLITEKNIK)

Pendidikan di Politeknik mula diperkenal di Malaysia melalui penubuhan politeknik pertamanya, Politeknik Ungku Omar di Ipoh di bawah United Nations Development Plan pada tahun 1969. Pendidikan ini diperkukuhkan dengan perakuan Jawatankuasa Kabinet mengenai pendidikan pada tahun 1979 dan Pelan Induk Perindustrian Kebangsaan pertama (1985 - 1995). Kesemua perancangan termasuk perakuan Jawatankuasa Kabinet mengenai latihan (1991), telah membolehkan penubuhan lebih banyak politeknik serta menambah program pengajian bagi memenuhi keperluan pekerja separa profesional dalam bidang kejuruteraan, perdagangan dan perkhidmatan. Bagi mengukuhkan peranan Politeknik dalam bidang pendidikan dan latihan, Jemaah Menteri pada 20 November 2009 telah menimbang Memorandum dari Menteri Pengajian Tinggi No. 871/2670/2009 dan bersetuju dengan Hala Tuju Transformasi Politeknik yang melibatkan empat teras berikut:

  • Memperkasa Politeknik ke arah menjadi pilihan yang setanding dengan universiti awam yang lain.
  • Membangunkan program pengajian dan penyelidikan dalam bidang tujahan yang bertunjangkan kekuatan di setiap Politeknik.
  • Memperkasa warga Politeknik dengan pengetahuan dan kemahiran tinggi.
  • Membina imej bereputasi tinggi dan budaya kerja cemerlang.

Jemaah Menteri pada 26 Mac 2010 telah menimbang Memorandum dari Menteri Pengajian Tinggi No. 198/2685/2010 dan bersetuju supaya ditubuhkan empat buah Politeknik Metro dalam RMKe-9 dan enam buah dalam RMKe-10 dengan peruntukan sebanyak RM200 juta.

VISI

Penjana utama modal insan inovatif melalui pendidikan dan latihan transformasional bagi memenuhi keperluan tenaga kerja global menjelang 2015

MISI

Menerobos sempadan untuk membina persekitaran pembelajaran transformatif dan kreatif ke arah menjana ekonomi yang dipimpin inovasi

JPP komited memberi perkhidmatan yang berkualiti, cekap dan mesra pelanggan dalam perkara berikut:

  • Menyediakan peluang pendidikan berkualiti di peringkat diploma dan diploma lanjutan selaras dengan keperluan industri semasa.
  • Memastikan proses pengambilan pelajar ke Politeknik mengikut syarat dan kriteria yang ditetapkan serta memaklumkan keputusan kemasukan dalam tempoh satu bulan selepas tarikh tutup permohonan.
  • Membuat penempatan pensyarah-pensyarah ke Politeknik sekurang-kurangnya dua kali setahun.
  • Mengambil tindakan terhadap setiap aduan dan memberi maklum balas terhadap pertanyaan dalam tempoh lima hari bekerja.
  • Mengadakan sekurang-kurangnya satu sesi dialog setiap tahun dengan pihak industri dan agensi berkaitan untuk memastikan program pengajian yang ditawarkan sentiasa relevan dengan keperluan sumber tenaga manusia yang diperlukan.
  • Menyediakan maklumat tentang peluang pendidikan yang ditawarkan dalam tempoh tiga hari bekerja.