Universiti Malaya (UM)

Ilmu Punca Kemajuan

Universiti Malaya (UM) logo

PENGENALAN UNIVERSITI MALAYA (UM)

SEJARAH & PERKEMBANGAN

Universiti Malaya ditubuhkan pada 8 Oktober 1949 hasil gabungan di antara King Edward VII College of Medicine (1905) dan Raffles College (1928). Universiti Malaya ketika itu memainkan peranan utama di dalam melahirkan modal insan yang mahir dan terlatih dalam Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) dan Singapura dan kemudiannya Malaysia. Perkembangan pesat Universiti Malaya dalam dekad yang pertama membawa kepada penubuhan dua cawangan autonomi pada tahun 1956; satu di Singapura dan satu lagi di Kuala Lumpur.

Pada tahun 1960, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah menyatakan hasrat masing-masing untuk menukar status cawangan universiti kepada sebuah universiti di peringkat kebangsaan. Dengan kelulusan Akta Parlimen 1961, Universiti Malaya seperti yang dikenali sekarang telah ditubuhkan secara rasminya pada 1 Januari 1962 sebagai institusi pengajian tinggi yang pertama di negara ini.

Sejak penubuhannya, Universiti Malaya telah mengeluarkan lebih 115,000 graduan di peringkat ijazah pertama dan ijazah tinggi dalam pelbagai bidang pengkhususan. Alumni Universiti Malaya telah menyandang pelbagai jawatan dan memainkan peranan penting dalam pelbagai bidang antaranya Perdana Menteri Malaysia, Menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan dan diplomat, pakar ekonomi, tokoh korporat serta peneraju dalam industri sains dan teknologi, kesusasteraan dan kebudayaan. Pada masa ini, Universiti Malaya mempunyai dua akademi, dua belas fakulti, tiga institut dan tiga pusat serta sebuah hospital yang dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Universiti Malaya juga disokong oleh tiga belas kolej kediaman.

Universiti Malaya telah dinamakan sebagai salah satu daripada empat universiti penyelidikan di Malaysia serta merupakan peneraju dalam bidang penyelidikan. Dengan bertambahnya dana penyelidikan dan perundingan serta peningkatan bilangan pelajar pascasiswazah, Universiti Malaya telah menubuhkan Institut Pengurusan Penyelidikan dan Perundingan (IPPP) pada tahun 2000 (dinamakan Institut Pengurusan & Pemantauan Penyelidikan pada tahun 2009) untuk menguruskan segala aktiviti penyelidikan dan perundingan bagi mempromosikan hasil penyelidikan dengan lebih berkesan. Oleh itu, para ahli akademik dan penyelidik Universiti Malaya akan terus cemerlang dalam pelbagai lapangan.

Universiti Malaya telah mendapat pensijilan MS ISO 9001:2000 pada tahun 2002 dan merupakan institut pengajian tinggi awam pertama yang mendapat pensijilan ini dalam kesemua proses terasnya. Dalam tahun 2015, QS World University Ranking telah menyenaraikan Universiti Malaya sebagai universiti ke 146 terbaik di dunia.

Universiti Malaya sentiasa menjalinkan kolaborasi dengan universiti terkemuka dunia dalam usaha memajukan perkembangan penyelidikan termasuk pertukaran para akademik dan pelajarnya. Pencapaian dan kemajuan Universiti Malaya menjadi asas dan inspirasi untuk muncul sebagai universiti tersohor bukan sahaja di Malaysia malahan di peringkat antarabangsa.

MISI

Untuk memajukan ilmu pengetahuan dan pembelajaran melalui penyelidikan dan pendidikan berkualiti untuk negara dan kemanusiaan.

VISI

Untuk menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang ternama di peringkat antarabangsa dalam penyelidikan, inovasi, penerbitan dan pengajaran.

NILAI-NILAI TERAS UNIVERSITI MALAYA

  • Integriti
  • Hormat
  • Kebebasan Akademik
  • Berfikiran Terbuka
  • Kebertanggungjawaban
  • Profesionalisme
  • Meritokrasi
  • Semangat Kerja Berpasukan
  • Kreativiti
  • Tanggungjawab Sosial

SISTEM PENGAJIAN

Universiti Malaya mengamalkan Pengajian Sistem Semester yang telah diperkenalkan pada Sesi Akademik 1996/1997. Setiap sesi akademik dibahagikan kepada dua (2) semester pengajian yang terdiri daripada 14 minggu kuliah bagi setiap semester. Namun begitu masih terdapat program pengajian yang mengikut Sistem Penggal iaitu Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) dan Sarjana Muda Pergigian (BDS). Semua program pengajian yang ditawarkan oleh UM juga memenuhi keperluan yang telah ditetapkan di bawah Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

Bahasa pengantar bagi semua program Ijazah Pertama adalah Bahasa Malaysia, kecuali bagi mata pelajaran yang diajar oleh pensyarah antarabangsa dan bagi mata pelajaran bahasa asing serta mata pelajaran-mata pelajaran tertentu yang telah diluluskan oleh Senat Universiti.

MAKLUMAT LANJUT

Untuk mendapatkan keterangan lanjut,sila hubungi :

Ketua Penolong Pendaftar Kanan
Seksyen Kemasukan & Rekod
Bahagian Akademik, Jabatan Pendaftar
Universiti Malaya
50603 KUALA LUMPUR

Tel : 03-79673279/3440/3441/3502
Fax : 03-79673449
E-mel : [email protected]
Laman Web : www.um.edu.my