Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Ilmu Keikhlasan Kecemerlangan

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) logo

PENGENALAN UNIVERSITI MALAYSIA PERLIS (UNIMAP)

LATARBELAKANG DAN SEJARAH

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) diluluskan sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada 25 Julai, 2001 dan mula beroperasi pada Jun, 2002. Tujuan utama penubuhan UniMAP ialah untuk melahirkan tenaga kerja yang mahir dan berkebolehan untuk merekabentuk, membina, menguji dan menyelenggara pelbagai peralatan dan sistem. Tenaga kerja mahir ini juga seharusnya berketerampilan dalam pelbagai bidang strategik dan berupaya mencari penyelesaian kepada pelbagai bentuk masalah menerusi pemikiran yang inovatif. Mulai Sidang Akademik 2009/2010 yang lalu, buat pertama kalinya UniMAP menawarkan program pengajian dalam bidang perniagaan. Salah satu matlamat penawaran program pengajian berkenaan adalah melahirkan usahawan tekno yang berpengetahuan dalam bidang keusahawanan dan perniagaan serta mempunyai kemahiran asas dalam kejuruteraan. Pada Sidang Akademik 2011/2012, UniMAP telah menawarkan program pengajian dalam bidang Teknologi Kejuruteraan. Ianya bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam membina genarasi berilmu, berkemahiran tinggi dan menyumbang kepada agenda pendapatan tinggi negara.

MISI UniMAP

Melahirkan modal insan kamil yang menyumbang kepada agenda pembangunan dan daya saing industri negara.

VISI UniMAP

Institusi akademik dan penyelidikan yang berdaya saing di persada antarabangsa.

KEDUDUKAN SEKARANG

Kampus tetap UniMAP (Kampus Alam) adalah di Ulu Pauh seluas (1028 ekar) dan di Sg. Chuchuh seluas (253 ekar) dan masih di peringkat pembangunan. Buat masa ini, kampus UniMAP adalah merupakan kampus yang bersifat bertaburan (distributed). UniMAP kini beroperasi di lokasi-lokasi seperti berikut:

Kangar : Jabatan Canselori (Pejabat Naib Canselor, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) dan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)), Jabatan Pendaftar, Jabatan Bendahari, Perpustakaan, Jabatan Pembangunan, Pusat Hal Ehwal Antarabangsa, Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan & Teknousahawan, Pusat Pengajian Siswazah, Institut Kejuruteraan Nano Elektronik, Pusat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi, Kluster-kluster penyelidikan, Pusat Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti, Jabatan Bahasa Antarabangsa, Unit Kualiti & Akreditasi (UNIKA), Unit Pengajaran & Pembelajaran, Unit Pembangunan Lestari, Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan, Unit Multimedia, Unit Audit Dalam, Unit Perundangan, Unit Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan, Unit Kebudayaan & Rekreasi, Unit Penerbitan, Unit Pengurusan Harta, Jabatan Keselamatan, dewan/bilik kuliah, bilik-bilik seminar dan makmal.

Kubang Gajah : Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), PALAPES, Rumah Universiti, Galeri UniMAP, Unit Komunikasi Korporat, dewan kuliah dan makmal.

Jejawi : Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) (PPK Bahan, PPK Alam Sekitar dan PPK Bioproses), Pusat Pembangunan Insan & Teknokomunikasi, Pusat Pembangunan Keusahawanan, Pengkomersilan & Pengurusan Harta Intelek, Pusat Ko-Kurikulum, dewan/bilik kuliah dan makmal.

Kampus Tetap Ulu Pauh : Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) (PPK Mekatronik, PPK Pembuatan, PPK Mikrolektronik, PPK Komputer & Perhubungan dan PPK Sistem Elektrik), Pusat Kejuruteraan, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Pusat Sukan, Pusat Kerjasama Industri, Kompleks Sukan, Kolej - Kolej Kediaman, Kompleks Dewan Kuliah, Galeri UniMAP dan makmal.

UniCITI Alam : Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), makmal dan dewan kuliah.

Kampus Sg. Chuchuh : Institut Agroteknologi Lestari, makmal, dewan kuliah dan 14 ekar kawasan tanaman untuk Stesen Agroteknologi.

Bintong : Kolej Kediaman & Pejabat SUKSIS.

Beseri : Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) (PPK Bioproses)

Kuala Perlis : Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Unit Penyelarasan Program Diploma, Kolej-Kolej Kediaman, Bilik Bersih (Semiconductor Clean Room), Kilang Mengajar, Pusat Kesihatan, Pusat Islam, dewan/bilik kuliah, dewan serbaguna, bilik-bilik pensyarah, makmal dan rumah tetamu.

Kuala Lumpur dan Kulim : Anjung UniMAP

KEMUDAHAN YANG DISEDIAKAN

Secara ringkasnya infrastruktur fizikal yang terdapat di UniMAP pada ketika ini sekitar 166 buah makmal, 117 buah dewan & bilik kuliah, Perpustakaan, Pusat Kejuruteraan, Kilang Mengajar, Semiconductor Clean Room, Stesen Penyelidikan Agroteknologi dan lain-lain lagi.

Selain itu, infrastruktur dan perkhidmatan ICT yang disediakan oleh Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi UniMAP terbahagi kepada rangkaian komputer (contohnya capaian internet di semua lokasi kampus-punca data UTP & wireless Access Point, akaun email staf-Zimbramail & pelajar-Qmail, Access Control System, Time Management System serta IP camera) dan juga perkhidmatan sistem maklumat (contohnya lawan web dan portal UniMAP, Sistem Pengurusan Akademik, Sistem Pengurusan Sumber Manusia, Sistem Kewangan Universiti, Sistem Perpustakaan Universiti, Sistem k-Kedatangan serta Sistem E-Learning/E-Module).

Perpustakaan UniMAP turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti Mesin Peminjaman Secara Layan Diri (Self-check), Mesin Pemulangan Secara Layan Diri (Book drop), ruang bacaan dan diskusi, Bilik Pembelajaran Berbantukan Komputer (C.A.I), ruang tayangan dan sebagainya.

Buat masa ini pihak UniMAP masih belum lagi dapat menyediakan kemudahan yang sepenuhnya untuk golongan OKU memandangkan lokasi kampus yang bersifat bertaburan (distributed campus). Walau bagaimanapun, perkara ini akan dititikberatkan dalam pembinaan kampus tetap kelak.

MATLAMAT DAN FALSAFAH

Program Sarjana Muda Kejuruteraan dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan di UniMAP mempunyai matlamat untuk menghasilkan graduan kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan yang berketerampilan didalam pelbagai bidang strategik yang berupaya mencari penyelesaian kepada pelbagai bentuk masalah menerusi pemikiran yang inovatif. UniMAP menitikberatkan pendekatan pengajaran dan pembelajaran seiring dengan perkembangan industri, sama ada dalam bentuk komponen teori mahupun amali. Kefahaman pelajar terhadap kefahaman teori dipertingkatkan melalui input-input amali yang disediakan di samping komponen rekabentuk, penyelesaian masalah, kerja berkumpulan, penyediaan dan pembentangan laporan. Semasa mengikuti program akademik, pelajar juga akan dibekalkan dengan kemahiran berkomunikasi, keusahawanan, pengurusan, perakaunan, ko-kurikulum dan pembangunan sahsiah. Pelajar juga diwajibkan mengikuti kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia serta Budaya dan Hubungan Etnik. Ini bertujuan untuk melahirkan jurutera yang bukan sahaja cekap dalam bidang kejuruteraan yang mereka ikuti malah berkebolehan untuk berdikari serta mempunyai sikap insan kamil yang terpuji.

Dalam pada itu, salah satu matlamat penawaran program Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan Kejuruteraan) ialah melahirkan usahawan tekno dengan menyediakan pelajar segala pengetahuan khusus dalam bidang keusahawanan dan pengurusan perniagaan serta ilmu dan kemahiran asas dalam bidang kejuruteraan. Manakala, program Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa) bertujuan melahirkan graduan yang berpengetahuan serta berkebolehan mengendalikan urusan perniagaan di arena antarabangsa sesuai dengan kedudukan Malaysia yang semakin meningkat dalam konteks perdagangan antarabangsa.

SISTEM PENGAJIAN

UniMAP mengamalkan sistem semester iaitu satu Sidang Akademik dibahagikan kepada dua (2) semester yang tiap-tiap satunya mengambil masa 14 minggu pembelajaran. Selain daripada itu pelajar dikehendaki menjalani latihan industri diluar semester pangajian sekurang-kurangnya 10 minggu bagi Program Ijazah Sarjana Muda hingga 24 minggu bagi Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan. Penilaian akademik pelajar-pelajar adalah dilakukan sepanjang semester dan gred-gred pencapaian dari tahun pertama pengajian sehingga tahun akhir pengajian akan diambil kira untuk menentukan pencapaian keseluruhan pelajar di akhir pengajian.

PUSAT-PUSAT PENGAJIAN DAN PROGRAM PENGAJIAN YANG DITAWARKAN

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menawarkan 37 program peringkat Ijazah Sarjana Muda di bawah 10 buah Pusat Pengajian dan sebuah Fakulti seperti berikut:

  1. 21 Program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan
  2. 13 Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan
  3. 2 Program Ijazah Sarjana Muda Perniagaan
  4. 1 Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu/li>

PUSAT-PUSAT PEMANTAPAN AKADEMIK

Selain dari pusat-pusat pengajian yang menawarkan program-program ijazah, terdapat beberapa pusat yang ditubuhkan bagi menyokong kepentingan akademik UniMAP iaitu:

1. Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi (iKOM)

Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi (iKOM) merupakan sebuah pusat pengajian baharu di UniMAP yang sebelum ini merupakan pusat perkhidmatan akademik. Mulai Sidang Akademik 2013/2014 pusat pengajian ini akan mula menawarkan program pengajian di peringkat ijazah pertama. Selain itu, Pusat Pengajian ini juga akan terus menawarkan kursus-kursus Teras, Wajib Universiti dan Opsyen yang wajib diambil oleh semua pelajar tanpa mengira sebarang program akademik mereka di UniMAP.

2. Pusat Ko-Kurikulum

Pusat Ko-Kurikulum merupakan sebuah pusat perkhidmatan akademik. Ia menawarkan kursus-kursus keperluan universiti yang wajib diambil oleh semua pelajar termasuk ko-kurikulum untuk pelajar Ijazah Sarjana Muda dan Badan Berunifrom untuk pelajar Diploma. Antara matlamat pusat ini adalah untuk mengembang dan memajukan bakat yang ada pada para pelajar di dalam bidang ko-kurikulum supaya dapat diketengahkan untuk mewakili UniMAP ke peringkat luar, mendedahkan aspek kemahiran insaniah seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran kepimpinan, serta disiplin kepada para pelajar dan memperbanyakkan platform kerjasama diantara universiti lain samada di dalam atau luar negara melalui aktiviti kokurikulum.

3.Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan (Centre For Industrial and Governmental Collaboration, CIGC)

Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan berperanan menjalin hubungan dengan pihak luar dari pelbagai aspek, terutama dalam program-program yang berkait terus dengan pembelajaran pelajar. Program seperti Pendedahan Industri (IndEx), Latihan Industri (InTra), Ceramah Industri (Industrial Talk), Latihan Staf Akademik (Staff Internship) dan lain-lain lagi diselia dan diselaraskan oleh pusat ini. Selain itu Program Keusahawanan Industri (IndEnt) juga diselaraskan oleh CIGC dan ianya merupakan sebahagian daripada Kursus Keusahawanan Kejuruteraan. Sebahagian besar dari program ini wajib diikuti oleh semua pelajar. Maklumat mengenai program-program ini dihebahkan kepada pelajar dari masa ke semasa.

Beberapa program yang berkaitan dengan kebolehpasaran graduan juga turut diselia oleh CIGC. Antara program yang dimaksudkan adalah 'job camp', 'degree ++', 'career talk & interview' dan penganjur bersama program karnival kerjaya dan sebagainya.

CIGC juga menyelaras penganjuran kursus-kursus jangka pendek, kerja-kerja perundingan dan pengujian disamping mengurus memorandum perjanjian (MoA) dan memorandum persefahaman (MoU).

4. Pusat Kejuruteraan

Pusat Kejuruteraan ditubuhkan bagi mengendalikan makmal dan bengkel umum (gunasama) yang diperlukan oleh pelbagai program yang ditawarkan di UniMAP. Oleh kerana program-program yang ditawarkan adalah berkaitan dengan kejuruteraan, maka penekanan kepada kemahiran penggunaan peralatan kejuruteraan adalah perlu secara intensif. Di samping itu, Pusat Kejuruteraan juga menyokong aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di UniMAP. Antara makmal yang terdapat di sini termasuklah Makmal Fabrikasi PCB, Makmal PLC, Makmal Asas Komputer, Makmal CAD/CAM, Bengkel Kejuruteraan Elektrik, Bengkel Kejuruteraan Mekanikal, Studio Lukisan Kejuruteraan dan juga Kilang Mengajar.

5. Institut Matematik Kejuruteraan

Institut Matematik Kejuruteraan (IMK) adalah sebuah pusat bagi merancang, menawar dan memantau kurikulum matematik kejuruteraan di UniMAP. IMK juga berperanan sebagai institut penyelidikan matematik kejuruteraan dan juga sebagai pusat rujukan dan memberi khidmat kepakaran dalam bidang kaedah penyelidikan matematik, simulasi, kaedah statistik dan penyelidikan operasi. IMK juga sebagai pusat latihan bagi masyarakat kampus dan luar kampus dalam bidang yang berkaitan dengan matematik.

Institut Matematik Kejuruteraan (IMK) tidak menawarkan apa-apa program akademik yang membawa kepada penganugerahan Diploma dan Ijazah, sebaliknya pihak IMK menawarkan kursus-kursus Teras Universiti yang wajib diambil oleh semua pelajar tanpa mengira program akademik mereka.Sila layari laman sesawang ini untuk maklumat lanjuthttp://imk.unimap.edu.my/

MAKLUMAT LANJUT

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web UniMAP di www.unimap.edu.my atau menghubungi Pejabat Pendaftar (Bahagian Kemasukan) seperti di alamat di bawah :

Unit Kemasukan dan Rekod Pelajar
Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Pendaftar
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
Tingkat 3, Bangunan KWSP
Jalan Bukit Lagi
01000 Kangar, Perlis
Tel: 04-979 8701/7845/8706/7940/7941/7878
Faks: 04-979 8703
e-mel: [email protected]