Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

Kontemporari dan Berpandangan Jauh

Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) logo

PENGENALAN UNIVERSITI MALAYSIA SARAWAK (UNIMAS)

VISI

Untuk menjadi sebuah universiti contoh serta diiktiraf di peringkat antarabangsa dan institusi pengajian tinggi yang menjadi pilihan utama golongan pelajar dan akademik melalui pencapaian cemerlang dalam pengajaran, penyelidikan dan kesarjanaan.

MISI

Untuk menjana, menyebar dan menyerap ilmu secara strategik dan inovatif bagi memperkasakan kualiti budaya bangsa dan kemakmuran masyarakatnya.

MATLAMAT PENDIDIKAN

  1. Menawarkan Beberapa Jenis Kursus Prasiswazah Dan Pascasiswazah
    UNIMAS bertanggungjawab merealisasikan pendemokrasian pendidikan dengan menyediakan asas secara menyeluruh. UNIMAS memastikan mutu amalan pengajaran dengan menganjur dan memantau perkembangan pengajaran dan pembelajaran secara inovatif dengan tujuan untuk melengkapkan para pelajar dengan ilmu yang mendalam dan signifikan serta kemahiran insaniah yang relevan.
  2. Melengkapkan Keperluan Pembelajaran Sepanjang Hayat
    Sejajar dengan kemajuan sosial dan pembangunan teknologi yang pesat, UNIMAS berhasrat melengkapkan keperluan para graduan bagi meneruskan pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti, serta meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan ketrampilan secara berterusan.
  3. Meningkatkan Kecemerlangan Penyelidikan
    UNIMAS sentiasa meningkatkan reputasi keilmuannya melalui penyelidikan berkualiti yang menyumbang kepada ilmu pengetahuan. UNIMAS turut bertanggungjawab terhadap aktiviti-aktiviti penyelidikannya melalui pembangunan mekanisme akreditasi untuk program-program penyelidikan.
  4. Membentuk Perhubungan Nasional Dan Antarabangsa Yang Relevan
    UNIMAS mengamalkan perkongsian bijak dengan kerajaan, komuniti, industri dan institusi-institusi pendidikan lain pada peringkat nasional dan antarabangsa bagi memberi sumbangan yang berterusan kepada masyarakat.

LATAR BELAKANG

Detik sejarah UNIMAS bermula apabila diumumkan pada 1 Oktober 1992 oleh Menteri Pendidikan pada masa itu, YB Tan Sri Datuk Amar Dr Sulaiman Haji Daud melantik Profesor Dato� Zawawi Ismail sebagai Naib Canselor pengasasnya dan diperbadankan pada 24 Disember 1992.

UNIMAS merupakan universiti awam kelapan dan yang pertama ditubuhkan sesudah Wawasan 2020 diilhamkan. Bermula dengan kira-kira 30 staf akademik, UNIMAS membuka pintunya kepada kumpulan pertama 118 pelajar pada 8 Ogos 1993. Para pelajar telah didaftarkan di dalam dua fakulti perintis, Fakulti Sains Sosial dan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber. Dua pusat sokongan akademik telah juga ditubuhkan: Pusat Pembelajaran Gunaan dan Multimedia, dan Pusat Khidmat Maklumat Akademik.

Pada tahun berikutnya (1994) empat lagi fakulti membuka pintu mereka untuk kursus ijazah: Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti teknologi Maklumat. Bilangan kakitangan dan pelajar meningkat sebanyak empat kali ganda. Sementara itu, profil UNIMAS mula meningkat kerana kebanyakan fakulti mula menawarkan program siswazah. Aktiviti penyelidikan mula berakar umbi dengan penubuhan Institut Biodiversiti dan Pemuliharaan Alam Sekitar, yang memberi tumpuan kepada kepelbagaian flora dan fauna di Borneo. Hubungan dengan pelbagai universiti di luar negara telah juga ditubuhkan. Pada tahun yang sama, Pusat Pemindahan Teknologi dan Perundingan, memenangi kontrak untuk kajian EIA Projek Hidroelektrik Bakun, projek terbesar yang pernah EIA di negara ini.

Tempoh di antara Januari 1995 dan akhir Disember 1996 menyaksikan peningkatan di dalam pemantapan struktur akademik dan penyelidikan universiti. Dua lagi fakulti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (1995) dan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (1996) mula mengambil dalam kelompok perintis pelajar masing-masing. Ini mejadikan jumlah fakulti kepada lapan, seperti yang asalnya dirancang. Pusat Pengajian Bahasa & Komunikasi mula menawarkan program TESL, sebagai tambahan kepada kursus-kursus bahasa generik. Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti, dan Institut Teknologi Perisian ditambah ke senarai institut penyelidikan.

Tahun bersejarah tahun 1997 menyaksikan kumpulan perintis graduan menerima ijazah mereka pada majlis konvokesyen sulung Universiti. Pada tahun ini juga Institut Pengajian Asia Timur ditubuhkan.

Pada tahun 2000 Profesor Datuk Yusuf Hadi telah dilantik sebagai Naib Canselor kedua bagi menggantikan Naib Canselor, Profesor Dato' Zawawi. Profesor Datuk Dr Abdul Rashid Abdullah telah dilantik sebagai Naib Canselor ke-3 pada 1 Februari 2005. Prof Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid kemudiannya dilantik pada tahun 2008. Seterusnya, pada 1 April 2013, Prof Dato Dr Morshidi Sirat telah dilantik selaku Naib Canselor ke-5 dan diganti oleh Prof Dato Dr Mohamad Kadim Suaidi sebagai Naib Canselor UNIMAS ke-6 pada 15 Februari 2013 sehingga sekarang.

Dengan berkonsepkan Kampus Kota, UNIMAS mudah dikunjungi oleh orang ramai yang ingin menggunakan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan kerana ia berkonsep terbuka. Mal pejalan kaki dibina sebagai satu rangkaian untuk menghubungi semua bangunan bagi menjamin keselesaan pengguna jalan kaki.

Kemudahan untuk golongan istimewa juga tidak ketinggalan agar mereka dapat menjalani kehidupan yang selesa di kampus. Kampus UNIMAS yang mampu menampung 20,000 pelajar akan meneruskan penekanan terhadap teknologi seperti yang diamalkan sebelum ini dengan memberi keutamaan kepada teknologi ICT bukan sahaja dalam bidang pengajaran dan pembelajaran tetapi juga pengurusan.

Sehingga kini, jumlah pelajar UNIMAS adalah seramai 13,959 orang manakala kakitangan pula berjumlah 2,042 orang

UNIMAS adalah sebuah universiti yang mendapat persijilan ISO. Ia telah diberikan pensijilan berprestij MS ISO 9001:2000 untuk kecemerlangan dalam proses pengurusan terasnya yang bermula dengan pengambilan pelajar baru sehingga kepada pengijazahan graduan. Program sarjana muda UNIMAS telah direka untuk memenuhi keperluan masyarakat dan industri. Penekanan kepada teknologi yang kukuh telah menyebabkan UNIMAS dianugerahkan status Koridor Raya Multimedia (MSC) yang cukup berprestij pada 17 November 2003. Anugerah tersebut diberikan di atas peranan dan keupayaan UNIMAS di dalam membangunkan tenaga kerja untuk MSC dan keperluan yang berkaitan, melalui pembelajaran strategik dan program-program latihan di sini.

UNIMAS telah memenangi Premiere Information Technology Award daripada Kerajaan Malaysia di dalam Anugerah AFACT eAsia di dalam kategori "Merapatkan Jurang Digital". Selain itu, ia juga telah memenangi Industry Innovators Award for System Development and Application dari Persatuan berasaskan satelit Profesional Antarabangsa (SSPI), bagi kejayaan dalam menubuhkan telecentre di dalam komuniti terpencil di Bario, Sarawak, untuk membantu masyarakat dalam komunikasi , pendidikan, e-dagang, kesihatan dan perkhidmatan kerajaan.

UNIMAS telah berjaya dalam perolehan geran penyelidikan, dengan penerbitan dan penemuan saintifik yang berguna. Institut Perubatan Kesihatan dan Masyarakat universiti telah berjaya membangunkan satu vaksin calon untuk denggi melalui kerjasama dengan syarikat antarabangsa, Bavaria Nordic. Dan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber telah berjaya membangunkan satu proses untuk menukar kanji sagu kepada asid laktik bagi menghasilkan plastik mesra alam.

Komitmen UNIMAS di dalam bidang penyelidikan telah diiktiraf oleh pelbagai pihak termasuk rakan-rakan dalam industri melalui peruntukan khazanah untuk penubuhan lapan kerusi penyelidikan; ini termasuk Kerusi Tun Zaidi untuk Kimia Perubatan, Kerusi Tun Openg untuk Teknologi Sagu, Kerusi Shell untuk Kajian Alam Sekitar, dan Kerusi Sapura untuk ICT.

Hari ini, kekuatan UNIMAS di dalam penyelidikan yang diakui oleh pelbagai organisasi di dalam sekurang-kurangnya tiga bidang khusus penyelidikan:

  • Penyelidikan bioteknologi epidemiologi (denggi, JE, HFMD, malaria), biogeografi (phylogenetics) dan pertanian (sagu);
  • ICT, khusus kepada komunikasi di luar bandar dan analisis imej;
  • Biodiversiti, sumber semula jadi dan pengurusan alam sekitar.

Pengurusan universiti telah menaiktaraf status beberapa kumpulan penyelidikan mereka, berdasarkan kekuatan di dalam bidang penyelidikan mereka melalui Pusat Kecemerlangan UNIMAS iaitu:

  • Pusat Penyelidikan Malaria
  • Pusat Penyelidikan Air
  • Informatik Luar Bandar
  • Analisis Imej dan Teknologi Spatial
  • Semantik Teknologi dan Augmented Reality
  • Tenaga Diperbaharui
  • Penyelidikan Sagu

Terdapat 8 Fakulti yang menawarkan pelbagai program pengajian iaitu:

  • Fakulti Ekonomi dan Perniagaan
  • Fakulti Kejuruteraan
  • Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
  • Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia
  • Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
  • Fakulti Sains Sosial
  • Fakulti Sains dan Teknologi Sumber
  • Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif

KEDUDUKAN SEMASA

Pada sesi akademik 2014/2015 UNIMAS menawarkan sebanyak 43 program pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda. Sehingga ini, seramai lebih kurang 13,959 orang pelajar sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di UNIMAS.

SISTEM PENGAJIAN

UNIMAS mengamalkan sistem semester iaitu satu sesi akademik dibahagi kepada 2 semester. Setiap semester mengambil masa 17 minggu iaitu 14 minggu perkuliahan, 1 minggu ulangkaji dan 2 minggu peperiksaan. Manakala pengajian antarsesi dikhaskan kepada pelajar untuk menjalani latihan industri, latihan mengajar dan praktikum.

Program pengajian di UNIMAS adalah berteraskan :

  • Pembangunan individu secara total supaya siswazah mempunyai imbangan dari segi sikap autonomi, bekerjasama dan berangkaian - boleh berfikir, berhujah dan bekerja tanpa arahan terperinci dari pihak atasan dan sanggup beriltizam untuk saling bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama.
  • Pendidikan untuk Keterampilan (Education for Capability) di mana pelajar dibimbing melalui pembelajaran ilmu dan juga perolehan keterampilan supaya mereka bukan sahaja memiliki ilmu dalam bidang masing-masing, tetapi boleh menggunakan ilmu dan keterampilan ini dalam tugas dan hidup seharian dalam keadaan yang sedia ada mahupun dalam suasana kerja dan kehidupan baru pada masa akan datang.
  • Program pengajian yang memungkinkan siswazahnya berfikiran luas, terbuka, matang dan berpandangan jauh, di samping membina keikhtisasan agar menjadi profesional yang berkemampuan, berwaspada, peka dan berupaya bertindak balas mengikut perubahan serta menguasai dan memungkinkan mengarah perubahan.
  • Untuk mencapai hasrat ini, program pengajian dirangkakan dalam konteks penerapan ilmu pelbagai disiplin, untuk memenuhi keperluan masyarakat dan industri. Ia berorientasikan amali supaya siswazah dibekalkan dengan keperluan kerjaya dan sosial.

Setiap pelajar dalam sesebuah program dikehendaki mengikuti sejumlah kredit kursus dari kumpulan teras, pembangunan generik dan elektif sebagai syarat bergraduat.

MAKLUMAT LANJUT

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada:

Pendaftar
Bahagian Pengajian Prasiswazah
Aras G, Bangunan Canselori
Universiti Malaysia Sarawak
94300 Kota Samarahan
Sarawak

Tel: 082-581000/1166/1165/1056/1063
Faks: 082-581048
Laman Web: http://www.unimas.my