Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berilmu Berbakti

Universiti Putra Malaysia (UPM) logo

PENGENALAN UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM)

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM) telah ditubuhkan pada 29 Oktober 1971, sebagai Universiti Pertanian Malaysia melalui penggabungan antara Fakulti Pertanian, Universiti Malaya dan Kolej Pertanian Malaya Serdang. Universiti ini bermula dengan tiga buah fakulti; Fakulti Pertanian, Fakulti Perhutanan dan Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains Peternakan.

Universiti Putra Malaysia memulakan program akademiknya pada bulan Julai 1973 dengan jumlah pelajar seramai 1,559 orang. Mereka mengikuti program Bacelor Sains Pertanian, Bacelor Sains Perhutanan, Doktor Perubatan Veterinar, Diploma Pertanian, Diploma Teknologi Rumahtangga, Diploma Sains Peternakan, Diploma Sains dengan Pendidikan dan Program Pendahuluan.

Pada tahun 1994, UPM telah memulakan satu rancangan untuk membina universiti masa hadapan yang menyediakan sistem pendidikan yang lebih baik dan terkini terutama dalam pendidikan sains dan teknologi. Selaras dengan itu, UPM telah berkembang pesat hingga menjadi kampus tanpa sempadan dan melangkaui sempadan kebangsaan.

Kemuncak daripada itu ialah dengan penukaran nama Universiti Pertanian Malaysia kepada Universiti Putra Malaysia pada 3 April 1997 oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Penukaran nama ini merupakan langkah strategik yang mencerminkan kedudukan UPM selaku sebuah pusat pengajian tinggi yang berupaya menawarkan pelbagai program pengajian dalam menghadapi alaf baru pembangunan masa hadapan.

Universiti Putra Malaysia kini mempunyai enam belas (16) Fakulti termasuk Kampus Bintulu, Sarawak, lima belas (15) Pusat, sembilan (9) Institut, satu (1) Akademi, dua (2) Sekolah Pengajian Siswazah, sebuah Taman Pertanian Universiti dan sebuah kampus cawangan di Bintulu, Sarawak.

UPM menawarkan lima puluh enam (56) program Bacelor, tujuh (7) program Diploma, satu (1) program Asasi dan lebih daripada empat ratus (400) bidang di peringkat Pasca Siswazah

VISI

Menjadi Sebuah Universiti Bereputasi Antarabangsa.

MISI

Memberikan sumbangan bermakna kepada pembentukan kekayaan dan pembangunan negara serta kemajuan manusia sejagat menerusi penerokaan dan penyebaran ilmu.

MATLAMAT

UPM telah menetapkan enam matlamat untuk merealisasikan wawasannya. Matlamat tersebut adalah seperti berikut:-

  1. Menarik pelajar cemerlang dan menghasilkan graduan berilmu dan berdaya saing.
  2. Melonjakkan tahap pencapaian penyelidikan dan inovasi ke peringkat antarabangsa.
  3. Memperkasakan penglibatan komuniti untuk penjanaan dan perkongsian ilmu.
  4. Memperkasakan UPM sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan, Penyelidikan dan Perkhidmatan Pertanian, dan Biosumber Tropika.
  5. Memperkemas tadbir urus dan pengurusan sumber.
  6. Memperkasakan Sekolah Pengajian Siswazah Pengurusan sebagai Top Business School (TBS).

KEMUDAHAN

Adalah menjadi tanggungjawab seluruh warga UPM untuk menjaga kemudahan-kemudahan yang telah disediakan Universiti. Antara kemudahan-kemudahan yang ada ialah:-

a) Penginapan

Universiti menyediakan sebanyak 17 buah kolej kediaman yang berupaya menampung 600-1,000 pelajar setiap kolej. Kolej-kolej kediaman ini menyediakan pelbagai kemudahan. Ini termasuklah dewan, bilik rehat, surau dan lain-lain.

Kolej kediaman tidak lagi menyediakan makanan sejak 1996, sebaliknya makanan boleh dibeli dari 4 buah kafetaria dalam kampus. Adalah menjadi polisi Universiti untuk mengutamakan pelajar baharu dalam pemberian tempat penginapan di kolej kediaman.

b) Perpustakaan

Pelajar boleh berjalan kaki ke Perpustakaan Pusat UPM (Perpustakaan Sultan Abdul Samad). Perpustakaan Pusat UPM terdiri daripada 2 blok, Blok A dan Blok B yang mempunyai keluasan lantai 17,652 meter persegi. Perpustakaan ini mempunyai lebih kurang 2,000 tempat duduk selain daripada bilik karel, bilik mesyuarat, auditorium dan sebagainya.

Koleksi Perpustakaan adalah kira-kira 400,000 judul buku dan 6,300 judul bersiri. Ini tidak termasuk koleksi multimedia seperti mikrofilem, pita video, peta dan lain-lain. Sumber bahan yang benyak dan kepelbagaian perkhidmatan ini adalah amat perlu untuk menyokong aktiviti pengajaran dan penyelidikan di UPM

c) Pengangkutan

Sistem pengangkutan di UPM merupakan antara yang terbaik jika dibandingkan dengan universiti-universiti lain di Malaysia. Ini bersesuaian dengan lokasinya yang terletak di antara Putrajaya dan Bandaraya Kuala Lumpur serta bersebelahan dengan Lebuhraya Utara-Selatan.

d) Perkhidmatan Bas (Dalam dan Luar Kampus)

  1. UPM menyediakan kemudahan bas untuk pergerakan pelajar di dalam dan di luar kampus.
  2. Setiap pelajar dikenakan bayaran RM75.00 seorang untuk satu semester untuk mendapatkan kemudahan tersebut. Pelajar yang membayar untuk perkhidmatan tersebut boleh menggunakan perkhidmatan bas tanpa had selama tempoh berkenaan.
  3. Bahagian Hal Ehwal Mahasiswa telah menyediakan lebih daripada 20 bas Universiti untuk kemudahan pelajar-pelajar menjalankan aktiviti akademik dan kurikulum di luar kampus.
  4. UPM juga telah membina beberapa perhentian bas berbumbung yang lengkap dengan kemudahan seperti kipas angin, lampu dan papan kenyataan untuk memberi keselesaan kepada para mahasiswa ketika menunggu bas.

e) Komuter dan Teksi

  1. Mahasiswa UPM boleh mendapatkan kemudahan perkhidmatan komuter dan teksi untuk berulang-alik daripada kampus ke destinasi yang ingin di tuju dengan harga yang berpatutan.
  2. Terdapat perkhidmatan bas yang menghubungkan Kampus UPM dengan Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Serdang.
  3. Satu lagi alternatif kemudahan pengangkutan ialah perkhidmatan keretapi komuter di stesen Serdang yang memberi perkhidmatan ke Seremban, Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.

f) Bank dan Pejabat Pos

  1. Terdapat dua buah bank di Kampus UPM, CIMB Bank dan Bank Simpanan Nasional untuk kemudahan warga kampus mengendalikan urusan kewangan. Pihak bank juga telah menyediakan beberapa buah mesin autoteller di tempat yang strategik dan selamat.
  2. Terdapat sebuah pejabat pos yang ditempatkan di Kolej Mohamad Rashid untuk kemudahan para mahasiswa dan warga kampus mendapatkan perkhidmatan pos, bayaran bil, memperbaharui lesen memandu dan pelbagai perkhidmatan lain.

g) Laman Web Student Portal http://www.psp.upm.edu.my

  1. Bahagian Teknologi Maklumat telah membangunkan Putra Student Portal sebagai gerbang utama bagi pelajar-pelajar UPM mencapai apa juga maklumat diri mereka sepanjang pengajian di UPM dengan mudah dan cepat melalui satu login sahaja.
  2. Laman web ini diwujudkan atas dasar memberi kemudahan disamping membudayakan ICT dikalangan pelajar.

h) Koperasi dan Kedai Buku

Terdapat sebuah kedai koperasi yang menjual segala kelengkapan alat tulis dan buku-buku rujukan serta keperluan harian mahasiswa.

i) Kemudahan Sukan Bertaraf Dunia

Selama ini, UPM menyediakan pelbagai kemudahan dan inisiatif sukan kepada mahasiswa. Hasrat UPM untuk melahirkan atlet yang berpendidikan tinggi sentiasa menjadi keutamaan. Sebuah Blok Atlet di Kolej Kediaman Keenam disediakan bagi kemudahan penginapan para atlet.

Seterusnya UPM juga memiliki sebuah kompleks sukan yang terdiri daripada stadium utama untuk acara trek dan balapan, dewan serbaguna untuk pelbagai acara termasuk skuash, bola jaring, sepak takraw, bola tampar, bola keranjang dan lain-lain sukan dalam dewan. Selain itu dengan memiliki keluasan kawasan yang tidak terhad, UPM tiada masalah tentang padang-padang permainan untuk keperluan mahasiswa bersukan.

Di UPM juga sukan ragbi menjadi sebutan dalam dan luar kampus. Siapa tidak kenal dengan pasukan Serdang Angel yang sememangnya digeruni lawan setiap kali menyertai kejohanan peringkat universiti dan jemputan. Sudah tentu kemudahan padang ragbi bertaraf dunia memberi sedikit kelebihan untuk mahasiswa UPM bergiat aktif dalam sukan ragbi dan kebanyakan mereka mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Kolam renang bersaiz olimpik, gelanggang tenis yang berkualiti dan padang hoki yang baru melengkapkan lagi persediaan UPM dalam memberi kemudahan terbaik dan bertaraf dunia kepada seluruh mahasiswa.

j) Kemudahan Riadah dan Rekreasi Moden

Mahasiswa UPM dikira bertuah apabila memiliki persekitaran kampus yang nyaman dan menyegarkan di sebalik kehijauan pokok-pokok yang merimbun. Panorama sedemikian boleh menenangkan fikiran setelah penat dengan proses pengajaran dan pembelajaran.

Seluruh warga kampus boleh menjalankan aktiviti riadah dan rekreasi dengan penuh semangat tanpa gangguan dan pencemaran. Pihak Universiti telah mengeluarkan belanja yang besar bagi menyediakan kemudahan yang serba moden untuk manfaat bersama. Pembinaan trek joging dan kemudahan riadah lain sepanjang 7 km melalui dusun buah-buahan dan merentasi pemandangan tasik menarik minat warga kampus untuk memulakan gaya hidup sihat.

Langkah UPM melancarkan program "Gerak Sihat" di kalangan mahasiswa dan staf setiap awal bulan menggalakkan warga kampus mempunyai tahap kesihatan tinggi dan kecerdasan minda yang boleh meningkatkan prestasi belajar dan bekerja.

UPM juga kaya dengan lokasi rekreasi yang pastinya dapat mengurangkan tekanan dalam mengejar kecemerlangan akademik. Contohnya Bukit Ekspo yang menawarkan kemudahan satu destinasi yang menarik dan pilihan sekeluarga.

Bukit Ekspo menawarkan kemudahan rekreasi dan riadah untuk sesiapa sahaja menjalankan aktiviti termasuk memancing, bersampan, sukaneka keluarga, tapak perkhemahan, tapak ekspo dan karnival, flying fox dan lain-lain lagi.

Aktiviti menunggang kuda dengan trek yang selesa dan mencabar adalah sesuatu yang menarik terdapat di UPM.

Bagi penggemar sukan golf, UPM memiliki kemudahan padang golf 18 lubang.

PROGRAM PENGAJIAN YANG DITAWARKAN PADA PERINGKAT IJAZAH BACELOR, DIPLOMA DAN ASASI

UPM adalah sebuah Universiti yang menawarkan program pelbagai bidang dan disiplin. Program-program yang ditawarkan di peringkat Ijazah Bacelor dan Diploma mengikut Fakulti adalah seperti berikut:-

Fakulti Pertanian

  1. PG11 - Bacelor Sains Pertanian
  2. PG14 - Bacelor Sains Hortikultur
  3. PG27 - Bacelor Pertanian (Akuakultur)
  4. PG32 - Bacelor Pertanian (Sains Ternakan)
  5. PP05 - Bacelor Sains (Perniagaantani)

Fakulti Perhutanan

  1. PG12 - Bacelor Sains Perhutanan
  2. PG47 - Bacelor Sains Taman dan Rekreasi
  3. PY11 - Bacelor Sains Teknologi Kayu

Fakulti Perubatan Veterinar

  1. PM01 - Doktor Perubatan Veterinar

Fakulti Ekonomi dan Pengurusan

  1. PE00 - Bacelor Ekonomi
  2. PE02 - Bacelor Perakaunan
  3. PP06 - Bacelor Pentadbiran Perniagaan

Fakulti Kejuruteraan

  1. PK01 - Bacelor Kejuruteraan (Awam)
  2. PK02 - Bacelor Kejuruteraan (Elektrik dan Elektronik)
  3. PK03 - Bacelor Kejuruteraan (Kimia)
  4. PK05 - Bacelor Kejuruteraan (Pertanian dan Biosistem)
  5. PK08 - Bacelor Kejuruteraan (Mekanikal)
  6. PK15 - Bacelor Kejuruteraan (Aeroangkasa)
  7. PK16 - Bacelor Kejuruteraan (Proses dan Makanan)
  8. PK17 - Bacelor Kejuruteraan (Sistem Komputer dan Komunikasi)

Fakulti Pengajian Pendidikan

  1. PP09 - Bacelor Sains (Pembangunan Sumber Manusia)
  2. PT03 - Bacelor Pendidikan (Pendidikan Jasmani)
  3. PT05 - Bacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama)
  4. PT06 - Bacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua)
  5. PT07 - Bacelor Pendidikan (Sains Rumahtangga)
  6. PT09 - Bacelor Pendidikan (Sains Pertanian)
  7. P020 - Diploma Belia Dalam Kerja Pembangunan

Fakulti Sains

Bacelor Sains (Kepujian)

  1. PS02 - Major Biologi
  2. PS08 - Major Matematik
  3. PS09 - Major Statistik
  4. PS15 - Major Fizik
  5. PS28 - Major Kimia
  6. PS29 - Major Kimia Perindustrian
  7. PS30 - Major Kimia Petroleum
  8. PS36 - Major Sains Bahan
  9. PS37 - Major Sains Instrumentasi

Fakulti Sains dan Teknologi Makanan

  1. PG09 - Bacelor Sains dan Teknologi Makanan
  2. PG17 - Bacelor Sains (Pengajian Makanan)
  3. PG18 - Bacelor Sains (Pengurusan Perkhidmatan Makanan)

Fakulti Ekologi Manusia

  1. PA05 - Bacelor Muzik (Persembahan Muzik)
  2. PP02 - Bacelor Sains (Pembangunan Manusia)
  3. PP20 - Bacelor Pengajian Pengguna
  4. PP33 - Bacelor Sains (Pembangunan Manusia dan Pengurusan)
  5. PP34 - Bacelor Sains (Pembangunan Manusia dan Teknologi Maklumat)

Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi

  1. PA02 - Bacelor Komunikasi

Bacelor Sastera

  1. PB00 - (Bahasa Inggeris)
  2. PB03 - (Bahasa dan Linguistik Melayu)
  3. PB06 - (Kesusasteraan Melayu)
  4. PB07 - (Kesusasteraan Inggeris)

Bacelor Sastera (Bahasa Asing)

  1. PB04 - Pengkhususan Bahasa Mandarin
  2. PB05 - Pengkhususan Bahasa Arab
  3. PB08 - Pengkhususan Bahasa Perancis
  4. PB09 - Pengkhususan Bahasa Jerman

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

  1. PM00 - Doktor Perubatan
  2. PM02 - Bacelor Sains (Sains Bioperubatan)
  3. PM05 - Bacelor Sains (Dietetik)
  4. PM09 - Bacelor Sains (Pemakanan dan Kesihatan Komuniti)
  5. PM10 - Bacelor Sains (Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan)
  6. PM12 - Bacelor Kejururawatan

Fakulti Rekabentuk dan Senibina

  1. PH02 - Bacelor Seni Bina Landskap
  2. PH03 - Bacelor Sains Seni Bina
  3. PH12 - Bacelor Reka Bentuk (Reka Bentuk Perindustrian)

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Bacelor Sains Komputer

  1. PC04 - Pengkhususan Sistem Komputer
  2. PC09 - Pengkhususan Multimedia
  3. PC10 - Pengkhususan Kejuruteraan Perisian
  4. PC11 - Pengkhususan Rangkaian Komputer

Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul

  1. PG07 - Bacelor Sains (Kepujian) Bioteknologi
  2. PS26 - Bacelor Sains (Kepujian) Biokimia
  3. PS27 - Bacelor Sains (Kepujian) Mikrobiologi
  4. PS71 - Bacelor Sains (Kepujian) Biologi Sel dan Molekul

Fakulti Pengajian Alam Sekitar

  1. PG46 - Bacelor Sains dan Teknologi Alam Sekitar
  2. PP43 - Bacelor Pengurusan Alam Sekitar

Fakulti Sains Pertanian dan Makanan (UPM Kampus Bintulu, Sarawak)

  1. PG30 - Bacelor Sains Bioindustri
  2. P2050 - Diploma Pertanian
  3. P2051 - Diploma Perikanan
  4. P2052 - Diploma Perhutanan
  5. P2053 - Diploma Kesihatan Haiwan dan Peternakan
  6. P2055 - Diploma Pengurusan Perladangan Makanan
  7. P2056 - Diploma Perniagaantani
  8. P2450 - Diploma Kejuruteraan Pertanian

Pusat Asasi Sains Pertanian

  1. P0050 - Asasi Sains Pertanian

Sekolah Pengajian Siswazah

  1. Doktor Falsafah (PhD) - (Pelbagai bidang)
  2. Program Master (MS/MA) - (Pelbagai bidang)

Sekolah Pengajian Siswazah Pengurusan

  1. Doktor Falsafah (PhD) - (Pelbagai bidang)
  2. Program Master (MS/MA) - (Pelbagai bidang)

KETERANGAN LANJUT

Bagi mendapat keterangan lanjut mengenai Universiti Putra Malaysia, sila hubungi:-

Alamat:
KETUA PENTADBIRAN AKADEMIK DAN ANTARABANGSA
BAHAGIAN AKADEMIK
TINGKAT 1, BANGUNAN PENTADBIRAN
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR DARUL EHSAN

Pejabat Am, Bahagian Akademik:
603 - 8946 6059
603 - 8946 6055
603 - 8946 6060
603 - 8946 6000

Faksimili:
603 - 8942 6469

E-Mel:
[email protected]

Laman Web:
http://www.upm.edu.my