Kami Memimpin
Universiti Sains Malaysia (USM) ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1969, merupakan salah satu Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang kedua tertua di Malaysia. Pada tahun 1971, Kampus Induk USM telah didirikan di Bukit Minden, lebih kurang 10km dari Bandaraya Georgetown. Suasana kampus yang nyaman dan harmoni ini menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pembelajaran.
Kini USM mempunyai tiga (3) kampus cawangan: Kampus Kejuruteraan bertempat di Seri Ampangan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Manakala Kampus Kesihatan bertempat di Kubang Kerian, Kelantan. Mulai pengambilan Sidang Akademik 2010/2011, USM mula menawarkan Program Pengajian Antarabangsa Doktor Perubatan USM - KLE dengan usahasama Karnataka Lingayat Education Society (KLE) yang terletak di Belgaum, Karnataka, India.
Sejak ditubuhkan, USM telah diberikan mandat untuk memberi dan memajukan pengajian tinggi dalam bidang sains dan teknologi yang meliputi Sains Tulen, Sains Gunaan, Perubatan, Kejuruteraan, Pembangunan dan juga bidang Sains Kemasyarakatan, Kemanusiaan dan Pendidikan. USM merupakan institusi yang menyediakan arena untuk penyelidikan, pemajuan dan penyebaran ilmu intelek sains dan kemanusiaan.
USM telah terpilih dan diisytihar sebagai antara empat (4) Universiti Penyelidikan di Malaysia. Pengisytiharan ini amat bermakna dimana USM terus mengungguli IPTA lain dalam memartabatkan bidang penyelidikan di rantau ini. Pada 4 September 2008 pula USM telah diisytihar sebagai Universiti APEX (The Accelerated Programe for Excellence) atau Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan yang pertama di Malaysia. Pengisytiharan ini telah melonjak USM untuk menjadi Universiti yang ternama dan tersohor di dunia selari dengan matlamat Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara.
USM telah berkembang dengan pesat sejak mula ditubuhkan, bermula dengan pengambilan pelajar seramai 57 orang dalam bidang sains. Kini, USM menawarkan pelbagai program peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah baik bidang sains atau sastera serta mempunyai lebih kurang 20,000 pelajar. USM juga kini lebih dikenali sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi yang disengani di dalam mahupun luar negara.
Transformasi Pengajian Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok
USM merupakan universiti perintis, intensif penyelidikan rentas bidang yang memperkasakan bakat masa depan dan mengupayakan gologan terkebawah demi mentransformasi kesejahteraan sosioekonomi mereka.
Konsep Universiti Dalam Taman yang diadunkan oleh USM ini menunjukkan hubungan akrab di antara peranan dan fungsinya sebagai institusi pengajian tinggi dalam persekitaran taman yang segar. Unsur flora, fauna, air dan ciptaan-ciptaan lain merupakan hubungan yang dinamik dalam penerokaan kehidupan selanjutnya.
Konsep ini mengajak kita untuk mengekalkan kehijauan kampus sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan dunia intelek. Kita perlu semarakkan semangat dan amalan dalam menjaga persekitaran kampus, malah terus menyayangi dan menghargai alam semulajadi dan ekologi yang dianugerahkan Tuhan di hati dan pemikiran pada setiap warga kampus.
Untuk menyedarkan semua pihak terhadap usaha ini, pelbagai unsur perlu diberikan perhatian. Unsur-unsur ini adalah nisbah di dalam pemajuan tanah yang ada, keindahan flora dan fauna, tasek dan keindahan yang berkaitan, rekabentuk dan seni bina serta amalan seluruh warga kampus.
Usaha murni ini memberikan keindahan yang tiada taranya, menggambarkan kampus yang sungguh menarik, nyaman dan kaya dengan semangat kemanusiaannya. USM menjadi model kehidupan universiti dalam taman yang patut dicontohi dan dicemburui. Ianya merupakan gabungan harmoni persekitaran kampus dalam taman yang menyediakan medan wacana intelek dalam menerokai akal budi ? siapa kita, bagaimana kita mengetahui dan bagaimana kita patut meneruskan kehidupan selanjutnya.
Kampus Sejahtera adalah inovasi unik USM yang diperkenalkan oleh Naib Canselor, Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak pada tahun 2001 sebagai program Kampus Sejahtera. Sejahtera membawa maksud keamanan, keharmonian, ketenangan dan kesihatan. Secara konsep, Kampus Sejahtera bertujuan untuk membimbing warga USM yang terdiri dari pihak pentadbiran, pensyarah, dan pelajar untuk memfokuskan komitmen dan tanggungjawab mereka terhadap universiti. Setiap individu memainkan peranan melalui inisiatif sendiri, sifat positif, tindakan pro-aktif dan kesukarelaan dalam memelihara pembangunan kampus.
Kampus Sejahtera adalah satu rangka kerja yang meliputi 5 asas. Pertama adalah untuk mencipta pemikiran setiap warga USM untuk mengambil tanggungjawab terhadap kampus. Kedua, berupaya mencipta suasana secara fizikal dan sosial yang kondusif untuk bekerja dan belajar. Ketiga, segala aktiviti di kampus harus menyumbang ke arah pembangunan berterusan yang mesra alam dan seterusnya menghasilkan gaya hidup sihat. Keempat, penyediaan gaya hidup sihat yang berkualiti dan rawatan gigi untuk pelajar dan staf. Dan yang kelima, Kampus Sejahtera sentiasa menyokong setiap aktiviti atau projek yang bermatlamatkan untuk menjadikan USM sebagai kampus yang lestari.
Program ini juga menekankan hidup gaya sihat sebagai kunci kepada penguasaan pengetahuan. Sumber maklumat diutamakan dalam penyediaan perkhidmatan yang berintegrasi. Sehubungan dengan itu sebuah Portal telah dibangunkan, dinamakan sebagai Portal Kampus Sejahtera (http://healthycampus.usm.my) yang mengutamakan capaian umum kepada maklumat aktiviti dan dokumentasi berkaitan dengan kesejahteraan. Maklumat yang berkaitan disediakan dan dapat dibaca atau dimuat turun pada bila-bila masa.
Keunggulan USM dalam bidang penyelidikan di iktiraf dunia melalui penganugerahan geran-geran dan projek-projek penyelidikan. Penyertaan USM dalam pameran penyelidikan, penganugerahan-penganugerahan berprestij dari dalam dan luar negara dan pengiktirafan yang diterima oleh staf setiap tahun menunjukkan USM berada dalam kelas kecermelangan pada peringkat antarabangsa. Eksplorasi para saintis kita ke benua Antartika penemuan dan penerokaan & ilmu-ilmu baru turut mengukuhkan lagi persepsi mata dunia terhadap tahap dan mutu penyelidikan di USM. Telah berjaya merangkul pelbagai anugerah kecemerlangan di symposium penyelidikan dalam dan luar negara antaranya;
Sebarang maklumat lanjut sila hubungi :-
Timbalan Pendaftar
Seksyen Pengambilan Pelajar
Bahagian Pengurusan Akademik
Jabatan Pendaftar
Aras 2, Bangunan Canselori
Universiti Sains Malaysia
11800 USM, Pulau Pinang.
Talian Bebas Tol : 1 300 888 876
Tel : 04-6533196
Faks : 04-6533328
Emel : [email protected]
Laman Web : http://www.usm.my