Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Dengan Hikmah Kita Meneroka

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) logo

PENGENALAN UNIVERSITI TUN HUSSEIN ONN MALAYSIA (UTHM)

LATAR BELAKANG

Sejarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bermula pada 16 September 1993 dengan penubuhan Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP). Pengisytiharan penukaran nama Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) kepada Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) telah diumumkan oleh Y.B. Menteri Pendidikan Malaysia pada 12 April 1996 sebagai mengiktiraf sumbangan dan kecemerlangannya dalam menangani isu pembangunan sumber manusia dalam bidang teknikal di negara ini. Pada 30 September 2000, Y.B. Menteri Pendidikan Malaysia telah mengisytiharkan penetapan taraf ITTHO kepada Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO). Pengiktirafan ini telah meletakkan KUiTTHO setaraf dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain di negara ini dan pada 1 Februari 2007 KUiTTHO telah bertukar nama kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hasil penjenamaan semula semua Kolej Universiti di seluruh Malaysia.

UTHM menawarkan program di peringkat Pasca Ijazah, Sarjana Muda dan Diploma. Kursus-kursus yang ditawarkan di peringkat Pasca Ijazah ialah di dalam bidang Kejuruteraan, Pendidikan Teknik & Vokasional, Pengurusan Teknologi dan Teknologi Maklumat. Program Sarjana Muda pula menawarkan kursus-kursus Kejuruteraan, Pendidikan Teknik & Vokasional, Teknologi Maklumat dan Pengurusan Teknologi dalam pelbagai bidang. Program Diploma pula menawarkan kursus-kursus Kejuruteraan, Teknologi Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat dalam pelbagai bidang.

Semua kursus yang dijalankan oleh UTHM memiliki keunikan tersendiri di mana program yang ditawarkan memberi penekanan yang lebih kepada pembelajaran-melalui-pengalaman (experiential learning) dan komponen praktikal di samping pengetahuan teori dan profesional kejuruteraan. Graduan yang dikeluarkan oleh UTHM bukan sahaja mempunyai pengetahuan akademik yang mantap tetapi keterampilan, kemahiran teknikal dan kemahiran genarik yang tinggi bagi menceburi bidang kerjaya yang lebih luas dan memenuhi keperluan mengisi jawatan dalam perkhidmatan awam dan keperluan industri masa hadapan.

LOKASI

UTHM terletak di Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Kampus UTHM mudah dihubungi melalui Lebuh Raya Utara-Selatan dan lokasinya amat strategik dengan di kelilingi oleh kawasan perindustrian yang menempatkan industri-industri bertaraf multi-national serta industri kecil dan sederhana. Kedudukan logistiknya yang strategik ini telah merangsang penyertaan sektor industri di dalam program kerjasama Universiti dengan Industri terutamanya dalam kegiatan pendidikan, penyelidikan dan pembangunan.

VISI

Berazam menerajui aplikasi sains dan teknologi untuk kemakmuran sejagat.

MISI

Untuk melahir dan melatih ahli profesional dan teknologi yang bersahsiah mulia dan berdaya saing di arena global melalui program akademik holistik dan pembudayaan ilmu serta penyelidikan yang berteraskan konsep tauhid.

FALSAFAH PENDIDIKAN UNIVERSITI

Pendidikan di Universiti ini adalah usaha berterusan untuk menerajui program akademik yang berorientasikan pasaran dan berfokuskan pelajar menerusi pembelajaran-melalui-pengalaman (experiential learning) untuk menghasilkan sumber manusia terlatih dan profesional sebagai pemangkin ke arah kemajuan negara yang mampan.

FAKULTI

Program-program yang ditawarkan akan dikendalikan oleh lapan (8) fakulti dan satu (1) pusat pengajian iaitu:

  1. Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar
  2. Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik
  3. Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan
  4. Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
  5. Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional
  6. Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
  7. Fakulti Sains Teknologi dan Pembangunan Insan
  8. Fakulti Teknologi Kejuruteraan
  9. Pusat Pengajian Diploma

SISTEM PENGAJIAN

UTHM melaksanakan sistem pengajian berpandukan sistem semester. Tahun akademik dibahagikan kepada dua (2) semester lazim iaitu Semester I dan Semester II. Setiap semester lazim terdiri daripada 14 minggu perkuliahan.

KEMASUKAN PELAJAR

Kemasukan pelajar bagi program Sarjana Muda adalah terbuka kepada lulusan STPM, Matrikulasi dan Diploma yang berkaitan daripada IPTA/Politeknik. Bagi program Diploma, kemasukan pelajar terbuka kepada lulusan SPM dan Sijil Politeknik/setaraf yang berkaitan.

TEMPOH PENGAJIAN

Tempoh pengajian lazim bagi menamatkan kursus Ijazah Sarjana Muda ialah minimum enam (6) semester atau 110 kredit bagi program bukan profesional dan tempoh maksimum pengajian yang dibenarkan ialah 12 semester atau 120 kredit bagi program profesional.

Tempoh pengajian lazim bagi menamatkan kursus Diploma pula ialah enam (6) semester dan tempoh maksimum yang dibenarkan ialah 10 semester. Walau bagaimanapun, tempoh minimum menamatkan pengajian adalah tertakluk kepada pengecualian kredit yang diluluskan oleh pihak Universiti.

KEMUDAHAN DAN PERKHIDMATAN

Terdapat pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di Universiti ini dan antaranya ialah Perpustakaan Digital, Bengkel & Makmal, Ruang Kuliah, Kiosk, Perkhidmatan Pelajar & Kedai Koperasi, Pengangkutan, Penginapan Asrama, Masjid, Sukan & Rekreasi, Bank Muamalat & ATM, Pusat Kesihatan Universiti, Perkhidmatan Kaunseling & Kerjaya, Kafetaria & Kantin, Pos Mini dan lain-lain.

KETERANGAN BIASISWA/DERMASISWA

Pelajar digalakkan memohon biasiswa/dermasiswa/pinjaman atau lain-lain bantuan kewangan daripada badan-badan penganjur yang layak dipohon. Syarat dan peraturan penajaan adalah tertakluk kepada pihak penaja berkaitan. Terdapat penaja yang boleh membiayai pengajian pelajar di UTHM, antaranya adalah seperti berikut:

  1. Kementerian Pelajaran Malaysia
  2. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
  3. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
  4. Yayasan Negeri
  5. Majlis Amanah Rakyat (MARA)
  6. Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA)
  7. Petronas
  8. Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad
  9. Yayasan Felda
  10. Kuok Foundation Berhad
  11. Lain-lain

MAKLUMAT LANJUT

Untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai UTHM, sila hubungi :

Unit Pengambilan dan Rekod Pelajar
Pejabat Pengurusan Akademik
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
86400 Parit Raja, Batu Pahat
Johor.

Tel : 07-4537655/7681/7685/7689/7695/7696
Faks : 07-4536085
E-mel : [email protected]
Laman Web Universiti : http://www.uthm.edu.my